Monday, August 26, 2013

Jual dan Cakap

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Memang sengaja jarang-jarang menulis dalam blog, biar pembaca terasa debar-debar menunggu entri yang baharu.
Lagipun, masih dalam keadaan sedih, Syawal pertama tanpa Emak. Beraya gitu-gitu je. Bergambar sakan? Jauh sekali. Tidak ada gambar yang mampu nak kongsi bersama kalian.

Tapi;

Ada beberapa perkara yang aku nak tegur,
Lagi-lagi menjelang hujung Syawal ni. Banayak lambakan rumah terbuka.
Aku malas nak bincang adab pakaian, adab duduk, adab pakaian, mahupun adab "Sila jangan bawa tupperware dan curi makanan di rumah orang".

Apa yang aku nak nasihatkan, adalah beberapa cara dan tutur kata yang aku rasa kurang sesuai;
Bukan apa, aku faham, sekarang ni, semua orang sakan berniaga internet. Menjual barang secara atas talian. Yang sakit, sudah tentu abang-abang posmen, asyik terpaksa menghantar barang niaga anda.

OK Stop!

Mari aku bagi contoh;

"Wah kau sekarang, dan setahun tak nampak, pipi dan perut dah sama bulat yea? Kau cubalah produk kurus aku, Makan 2 biji pil ni, dah boleh langsing macam Didie Alias".

"Kau kerja bendang ke? Kulit bukan main gelap lagi. Tangan kasar macam karpet Pakistan. Nah! Cuba produk Tamaka ni. Kompem cerah dan mulus dalam 2 hari. Hebat tau!".

"Masih pakai fon ni ke? Taknak cuba sematpon klon yang aku jual? Janganlah jadi mundur sangat. Hidup kita ini, perlu kejar inovasi".

"Temah, aku bukan nak cakap apa, tapi kan, corak bunga tabur bunga kusam ni, dah bukan fesyen sekarang. Sekarang ni musim peplum, dan orang pakai helmet turban jadi tudung.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berniaga masa bulan puasa? Tak salah. Malah, inilah masa paling terbaik brader dan sister semua untuk buat iklan, tanpa ada kos. Siap ada makan free lagi. Tapi, cara tu kenalah betul. Jangan kerana kau dah kaya sikit, kau pandang orang pun sepet-sepet saja.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Aku rasa, kalau kau kurus sikit kan, mesti segak. Tak payah la kau duk peluk bantal letak kat perut setiap kali kau nak duduk. Aku boleh tolong kau. Kita kan kawan. Dulu aku kapel, kau yang jadi baruanya posmennya".

"Aku ada bedak ni, kau cuba dulu pakai, kalau ok, kau bayarlah ansuran dengan aku. Aku tak paksa kau beli. Cuma aku rasa kalau kau pakai bedak ini, insyaAllah, laki kau dah tak keluar lepak malam dah".

"Kau mesti suka bergambar kan? Aku ada jual sematpon semacma ori, tapi harga jauh lebih murah. Skrin dia pun besar. Puas sikit kalau kau nak letak gambar boyfie teman lelaki kau kat depan nanti. Sebelum tidur nak belek-belek. Kamera pun cantik".

"Aku ada jual baju peplum, saiz sampai 8xl. Kalau kau minat, aku boleh tunjuk nanti. Bila kau berjalan nanti, semua orang pandang, sebab warna dia terang, dan fabrik lembut, dan paling penting, tak panas".


InsyaAllah, jika kita guna kaedah persuasif (pemujukan), pasti kawan akan faham. Dan berminat untuk menjadi pelanggan kita. Kadang-kadang kita rasa dia boleh terima usikan kita. Tapi percayalah, semakin meningkat usia, manusia menjadi semakin hati tisu.


Wassalam.

Friday, June 14, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (3.0)



Aku? Masih seperti ini. Lusuh dan tidak terurus. Mujur ada Nadia. Mungkin Allah cuba menunjukkan kasih sayangnya dengna menghantar Nadia untuk aku. Pengantara cinta Tuhan dan HambaNya. Kata Nadia, hari ini sudah masuk 1 Syaaban, kurang sebulan untuk menjengah Ramadhan.

Biasanya, manusia risau, apa yang bakal dipakai untuk Hari Raya, dan apa juadah yang enak untuk diratah semasa berbuka puasa. Tapi bagi aku, bagi Nadia. Adakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan tahun hadapan? Aku serahkan kepada Allah. Ustaz Zamberi pernah berpesan, Allah itu adalah Sebaik-baik Perancang.

Mengenali Nadia, gadis penjual bunga ini, buat aku sedar, dan aku rasa sudah masa aku berhenti untuk menyalahkan hokum tuhan. Aku perlu kembali ke jalan redha Ilahi. Aku tak mahu mati dalam keadaan hina. Aku takut mati dalam keadaan sesat dan busuk. Nauzubillah. Tiba masa, aku pulang. Pulang mencium cinta Allah. Menjadi hamba yang tidur, lena dan, hela nafasnya, membisik nama suci Allah.

Terima kasih Allah kerana menghantar Nadia untuk aku. Dengan bimbingan Ustaz Rosli, aku perlahan-lahan mencari redha Allah. Beliau bagi aku kerja yang mulia, walaupun bagi pandangan orang muda kini, itu hanyalah kerja orang yang hampir mati, kerja menjaga masjid. Aku diupah RM500 sebulan untuk membersihkan dan memelihara masjid ini. 

Seronok. Kita jaga rumah Allah, Allah jaga rezeki dan jodoh kita. 

Jangan terlalu kejarkan dunia, sebab cinta dunia akan mati. Jangan dikejar cinta manusia, kerana cinta itu akan pergi. Kejarlah cinta ukhrawi, kerana ianya akan kekal hakiki.

Hari ini sudah 15 Syaaban, Nisfu Syaaban. Nadia masih dengan pekerjaan asalnya. Dan beliau masih lagi tinggal di rumah Madam Lee. Nadia bebas untuk solat, malah, Madam Lee membelikan Nadia sebuah kuali dan alatan memasak untuknya. Benar, itu bagus untuk menjaga halal makanan. Dan, Nadia begitu teruja, kerana keluarga Cina itu sudah tidak memakan babi dan meminum arak lagi. Mereka hormat agama Nadia, Islam.

Nadia, terima kasih sebab jadi yang halal buat aku. Tahun ini, sudah masuk tahun ketiga kau menjadi zaujahku. Terima kasih. Benar, manusia akan berubah kerana sesuatu. Dan Nadia, tasbih putih yang pernah kau letakkan dalam uncang wang aku, aku tidak pernah henti menggunakannya. Dialah menjadi saksi cinta aku kepada Allah. Dan, terima kasih Allah. Kau berikan aku Nadia. Penyejuk mata, penawar di hati.

Terima Kasih Allah.

[tamat]

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (2.0)



 Puas aku belek-belek uncang kain pemberian Nadia. Dengan uncang ini, dapatlah aku menyimpan kad pengenalan yang baru saja aku dapat minggu lepas, dan sedikit wang hasil perahan keringatku membasuh kereta orang kaya di premis Jalan Bunga Raya ini. Mana mungkin aku mampu mencari kerja yang lebih bagus? Sijil dan semua pembuktian akademik aku habis diratah peragut keparat itu. 

Entah di mana dicampaknya beg aku, aku pun tidak pasti. Puas aku korek setiap inci tong sampah. Sampai satu saat, aku dihambat oleh seorang tauke cina, menjual itik panggang. Aku bukan penagih. Aku bukan mentalist yang mengamalkan muzik dan retorik songsang. Aku mencari bagasi aku yang telah diragut, bukan mencari sampah untuk dikunyah.

Aku mula sayangkan Nadia. Benar apa yang orang cakap, kerana budi, kita mampu untuk jatuh hati. Begitu juga apa yang aku rasa. Bodoh! Terlalu banyak derita si gadis manis itu untuk tanggung, takkan aku nak datang, dan menambahnya lagi. Pelik benar rasanya. Dulu, memang aku anggap dia seperti adik aku sendiri. Tapi kini, rasanya lain benar. Aku percaya, jurang usia itu hanyalah permainan sial orang yang kolot. Dia buat aku mulai percaya akan wujudnya kuasa dan kasih sayang tuhan, Allah Maha Esa.

Kasihan Nadia, dia perlu habiskan sisa jualan bunga setiap hari. Kerana bunga itu akan layu jika dibiarkan lama. Begitu juga iman manusia. Ini apa yang aku ingat, akan apa yang Nadia pernah beritahu aku. Katanya, iman manusia ini seperti pohon bunga. Ianya perlu dibaja setiap hari. Jika tidak, pohon akan layu, dan akhirnya akan mati.

Nadia, dulu dia juga seorang gadis liar. Bapanya seorang pemabuk. Dia adalah mangsa serakah bapa kandungnya sendiri. Dan, dia juga hampir dirogol oleh kawan-kawan bapanya, juga pemabuk dan taik judi. Mujur Nadia gegas berlari. Dia kini tinggal dengan Madam Lee, pengusaha nurseri bunga.

Siapa kata Cina itu jahat, dan Melayu itu baik? Isu bangsa, soal hati, dan permainan rasa, semuanya bersifat subjektif. Madam Lee hantar Nadia untuk membasuh lukanya di Masjid Taqwa. Di situ, jiwa liarnya dibasuh dengan alunan bibit ayat-ayat syurga. Dia juga diajar untuk solat dan menutup aurat.

Manusia tidak boleh mudah salahkan tuhan akan nasib yang mereka rasai. Semua itu masalah dalam jiwa. Isu sosialis amat menakutkan. Nadia hidup dalam komunitii yang amat jauh dengan titik Islam. Jangan dihukum terus pelacur itu, kita harus menilai latarnya dahulu.


[bersambung]

Thursday, June 13, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (1.0)



Hari ini, seperti juga hari semalam. Kosong, sempit, dan merimaskan. Aku masih lagi duduk menanti sebarang tanda yang mungkin boleh kurangkan sesak dada ini. Satu rasa yang mampu buat aku terpanggil untuk percaya, tuhan itu masih wujud dan akan membantu manusia. Tapi aku silap, aku menanti satu jawapan bodoh, yang tidak pasti. Aku sudah berada di sini hampir lima bulan. Apa yang aku dapat, hanyalah cebis wang nota hijau tiap hari, upah aku membasuh kereta sang keparat mewah hidung belang. Aku tidak puas. Malu aku. Dengan rupa dan personaliti yang aku ada, aku mampu capai lebih. 

Aku lepasan universiti. Namun, aku cuba menebalkan pipi hitam ini untuk terus memerah peluh busuk di bawah terik mentari. Apakah sudah tidak ada peluang kerja untuk kami? Paling tidak, setimpal dengna apa yang aku timba tiga tahun lalu. Setimpal. Aku mahu gaji setimpal. Paing tidak, lepas aku untuk melunas hutang doktrinisasi kerajaan.

Memang aku berjiwa berontak. Aku benci hidup begini. Namun aku perlu sedar, hidup ini seperti kertas kanvas. Sekali kau diconteng, sudah tidak mampu terpadam. Kau perlu mengulangi semula, dengan lembar yang baharu.

Nadia, ya! Namanya Nadia. Aku kenal dia secara tidak langsung. Dia aku cuit bahunya semasa aku membasuh kereta seorang anak menteri, di bawah premis guaman ini. Nadia tidak malu menjual bunga. Walaupun dengan imejnya yang muslimah, dia berani memalukan dirinya merintih dan merengek agar orang membeli jualannya. Berlainan dengan aku. Aku sudah lama tidak percaya tuhan. Aku akan kembali menyembahNya jika aku peroleh kerja bergaji besar.

“Assalamualaikum, abang Lan”, sapa Nadia penuh sopan. Dihulurnya nasi lemak berbungkus cebis helai pisang untuk aku jamah bersama. Sudah seminggu dia membawa sarapan untuk aku. Segan. Patutnya, aku lelaki tegap yang menjaganya. Cuma, dua hari pertama, aku langsung tidak menjamah pelawaannya. Takut disantaunya aku. Beginilah perspektif orang tidak bertuhan. Jahil.

Dia mula membuka cerita. Dia anak tiada beribu. Bapa lari entah ke mana. Di pergelangan tangannya, ada lelasan kesan genggam tangan yang kasar. Mungkin kerana dia rasa aku ini seperti abangnya, dia mula bercerita.

“Abang rasa, pelacur yang dipaksa melacur oleh ayah kandungnya sendiri, ada harapan atau tidak untuk mencium syurga?”, soal Nadia.

Aku tidak punya jawapan untuk itu. Yang aku tahu, ustazah pernah cakap pada aku, niat itu tidak menghalalkan cara. Entah. Aku pun tidak faham. Aku rasa hidup tidak bertuhan ada bagusnya. Tidak rasa dikongkong.

“Abang, sampai bila abang nak jadi seperti ini? Bila kali terakhir abang solat?”. Kali ini, soalan Nadia semakin pedas. Benar. 

Bila terakhir aku solat? Lima bulan lalu, masa hari pertama aku tiba di Kuala Lumpur. Usai solat, aku mencapai beg galas, dan ada si bangsat keparat meragut beg dan semua barangan aku. Aku tidak punya apa-apa waktu itu. Aku diragut di hadapan masjid. Jika benar Allah menjaga HambaNya, kenapa Dia terus membiarkan aku derita?. Aku tidak punya jawapan untuk itu.


[bersambung]

Wednesday, May 22, 2013

Pertama

Assalamualaikum dan salam hormat kepada semua.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Terima kasih Allah kerana masih lagi memberi kami peluang untuk bernafas dan bergerak untuk satu hari lagi, paling tidak pun, sampai saat entri ini dibacakan.

Sudah lama benar aku tidak berkongsi. Mungkin kerana rajuk hati, dan sakit rindu kecewa, dan mungkin juga kerana aku berpura-pura sibuk untuk cuba melupakan luka. Perbuatan bodoh! Mana mungkin luka yang dalam boleh dinafikan pedihnya.

25 dan 26 Mei adalah tarikh keramat buat aku. Peluang yang diberikan oleh seorang sahabat (kini bergelar puan) aku sambut dengan tangan terbuka. Menjadi jurugambar rasmi beliau semasa Hari Bahagia.

Alhamdulillah, memang tak banyak, tapi cukup untuk buat aku terus menyambung nyawa dan terus mencari rezeki di bumi Allah.



Tahniah diucapkan kepada Ira & Budin.
Semoga cinta terpatri hingga Syurga Allah.

Cuma satu aku nak berpesan, andai dah kaya, jangan sombong dengan Allah. Solat jangan tinggal.
Mungkin ada yang cakap, tinggal solat pun masih boleh kaya.
Itu juga ujian dari Allah (ujian kaya mahupun ujian miskin)

Untuk yang nak kahwin dan nak pakej jurugambar murah termurah di pasaran, khasnya untuk warga Banting, boleh usha blog ini;

SKPixtures

Assalamualaikum.
Till then, wallahualam.

Saturday, April 6, 2013

Aku Rasa Kekok Bila Bersama Kau

Assalamualaikum.

Pertamanya, terima kasih Allah kerana bagi aku peluang sehari lagi untuk berusaha mempergiat dan menambah amalaan di jalan ukhrawi ini.

Back to the topic.

Menjelang cuti semester (dah mula pun), sudah pasti ramai kawan-kawan sedara mara akan pulang ke kampung masing-masing. Jika bukan kerana cuti pun, mereka pasti pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya yang telah lama tertunda sejak Oktober tahun lalu. Sudah pasti, ini masa yang sesuai untuk bertemu berkumpul semula selepas sekian lama tidak berjumpa, lepak gosok perut sama-sama.

"Dah lama tak jumpa, aku kekoklah"

Apa guna ada aku, kalau masalah kecik macam ni aku tak boleh tolong setel.
Nah! Ada sedikit tips untuk elak menjadi kekok dan tersipu-sipu bila lepak dengan kawan lama.

1) Sila bawa kawan. Sekurangnya ada kawan borak kalau mati kutu nanti. Dan juga, boleh tambah kawan. Kemanisan berukhwah bro.

2) Selalulah ketawa dan cuba membuat lawak yang tipis-tipis, dan jangan kuat menganjing sangat (sebab si dia kawan dah lama tak jumpa, mungkin dia dah bukan macam dulu dah)

3) Main henset. Setiap dua minit, belek-belek sematpon kau. At least, dapat longgarkan sikit ketegangan suasana di situ.

4) Bermainlah dengan objek. Paling senang, straw minuman, mahupun pemetik api.

5) Elak bertembung mata. Sebab benda macam ni akan buat kau tewas dan makin gugup.

6) Buat list 'What To Do' sebelum keluar lepak (tidak disarankan, sebab akan nampak seperti buat-buat). Hanya untuk yang betul-betul naif sahaja.

7) Bijak mencari alasan dan mencari persamaan. Berbual dengan isu yang menarik minat bersama. Kalau lelaki, sembang pasal bola, awek, atau kereta. Kalau perempuan, boraklah pasal fesyen, lelaki hensem ,artis K-Pop, Justin Bieber, barang mekap, isu semasa, gosip liar artis, bla bla bla, tanpa kesudahan.

Konklusinya, ini peluang baik untuk eratkan balik hubungan anda berdua.
Tenang. Kalau anda nervous, aku pasti dia pun rasa begitu.

Wassalam.

Wednesday, March 20, 2013

Raja Hanya Sehari

Assalamualaikum dan Salam Hormat kepada semua rakan taulan sahabat handai cikebom cikebom semua. Hari ini ada sedikit mood yang gembira dan terkilan juga, sebenarnya. Jodoh dinanti tidak tiba, rezeki yang dicari enggan kunjung tiba. Tapi, dalam hidup, kena yakinlah dengan rezeki Allah. Mungkin lambat, tapi insyaAllah bermanfaat.

Menjelang cuti sekolah minggu hadapan, rumah aku sudah dilimpahi dengan kad jemputan kahwin tradfisional dan sedikit unik dari saudara-mara. Biasalah, cuti sekolah, sinonom sangat dengan Majlis Kahwin & Berkhatan ni. 



Tapi hari ini, bukanlah nak cerita jauh sangat soal Kahwin, tapi apakah impaknya jika kita tidak bersedia.

1) Anda mungkin menjadi Raja Sehari, tapi bersediakah anda untuk menghadapai hutang 10 tahun (akibat buat loan untuk kahwin). Sebab itulah, kena bersederhana, dan jika mampu untuk bermegah mewah, silakan. Jika tidak, simple sudah,. Lepaskan yang patut sahaja. Panggil sahaja saudara terdekat, ini tidak, kenduri kahwin orang Melayu sekarang, dah mengalahkan open house rumah menteri ramainya. Jika mampu, tidak salah. Tapi, membazir itu kawan setan.

2) Buat si gadis, dan mungkin untuk teruna juga. Tidak salah untuk bersolek untuk menutup sedikit cela dan jerawat agar nampak cantik, tapi usahlah berlebihan, takut menimbulkan fitnah. Janganlah kerana pakaian dan tema majlis warna HIJAU, lipstik dan pipi pun nak dihijaukan. Haru!

3) Untuk renungan gadis, dan juga keluarga pengantin, di sini saya letak dua cadangan waktu agar anda tidak terlalu letih, dan tidak tinggal solat. Bukan apa, nak solat, takut mekap cair. 
 i - Bersandinglah pada jam seawal 11pagi, makanya, majlis akan tamat lebih kurang 2 jam kemudian. Maka, anda semua boleh berehat sebentar, dan masuk rumah untuk bersolat. Pengantin pulak, bolehlah jadikan hari tu, hari pertama untuk solat berjemaah bersama. Kan elok begitu?
ii - Buat jam 9 malam (tidak digalakkan),yang penting, pengantin lepas solat Maghrib, kemudian bersoleklah secara sederhana. Selesai majlis, kira-kira jam 11 malam, bergegaslah untuk solat. Ajak juga pakcik makcik yang sibuk menjadi penanggah untuk solat bersama. Kemudian, boleh terus ke sesi suai kenal dengan saudara mara. Boleh je kalau lepas solat tukar baju, untuk elakkan bau masam dan rimas.

4) Jangan berhutang, jika masih kurang wang, bertahanlah. Dan jika terdesak sekalipun, carilah ahli keluarga sendiri (itupun jangan pinjam banyak sangat, takut terbeban lepas kahwin)

5) Semua nak baharu! Ini kes lagi parah. Bila nak kahwin, segala perabot di dalam bilik nak dibuangnya. Malah, tong sampah dan lapik kaki pun nak diganti sama. Membazir, sebab jika diganti sekalipun, fungsi tetap sama. Lainlah kalau ganti almari baharu, tiap pagi bukak, keluar duit RM1,000. Hah! Almari macam tu, perlu beli. 

6) Persiapkan diri. Jangan sibuk mencari yang solehah jika diri tu belum cukup soleh. Kira, berapa banyak anda melangkah ke masjid untuk beribadah. Jangan pulak, pusat karaoke dan pawagam lebih kerap dijengah berbanding rumah Allah. Haru! Si gadis, belajarlah masak. Paling tidak, mahir satu jenis lauk, lauk kegemaran "cik abang sayang", itupun sudah cukup.

7) Masa hari bersanding tu, elakkan benda dan amalam bid'ah klik sini. Dan aku nak juga berpesan kepada si lelaki, tak usahlah sibuk nak berinai juga, sebab inai itu termasuk dalam perhiasan wanita. Dan jangan pula kepada geng-geng yang ada janggut, dibuangnya janggut semata-mata untuk nampak muda masa bersanding. Jangan bro! Andai kau sebelum ini terbiasa memakai serban sekalipun, tidak mengapa. Pakai sahaja semasa bersanding, dan jika takut mengundang fitnah, pakailah songkok atau kopiah. Apa ada hal.



Ini antara sedikit sebanyak yang dapat aku pesan. Untuk diri aku juga. Sebab diakhirnya, aku juga ingin berkahwin. Kepada yang sudah berkahwin, jaga rumah tangga, bertolak ansur dan jangan sibuk nak menambah saja (anak dan isteri) tapi fikir juga tambah amalan untuk bawa kau dan pasangan menuju syurga hakiki.

Wassalam.

Kalau nak aku tolong ambilkan gambar kahwin korang, dengan harga bajet, boleh klik sini, SKPIXTURES
Aku akan tolong sedaya mampu aku :)


Saturday, March 9, 2013

Peduli

Assalamualaikum.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kejadah apa update blog jam 2 pagi?
Mungkin anda lupa, pada waktu beginilah paling tenang, dan waktu yang best untuk berfikir.
Kembali kepada tajuk. Peduli itu sangatlah subjektif, dan ianya berlaku dengan maha dahsyat dalam dunia media alam maya sekarang ini.

Jom.

Ramai yang peduli akan nasih saudara bangsa kita di Sabah (kalau tidak tahu isu apa, sila tanya Encik Google. InsyaAllah akan membantu. Tapi, aku rasa benda ni semakin lama semakin parah. Isu peduli ini ada dua. Bukan sahaja isu di Sabah ini, tapi untuk semua isu, sebenarnya.

1) Peduli dari aspek yang amat baik, mendoakan kesejahteraan, mencari ikhtiar dan bantuan alternatif untuk membantu, dan bersedia menghulur tangan kecil untuk kurangkan beban kawan-kawan.

2) Peduli dari aspek tidak baik. Sikap peduli hanya kerana terikut-ikut dan mahu terikut sama dalam trend. Contoh paling mudah, dia perlu ikut apa yang orang lain (usaha) buat, dan cuba meniru. Ianya bagus, yang tak bagus, adalah niatnya untuk nak LIKE (Facebook) dan orang Retweet (Twitter). Bermegah-megah itu tidak bagus, kawan.

Sejujurnya, aku nak semua orang peduli akan isu (apa jua isu) yang ada kaitan ataupun tidak ada kaitan dengan anda. Cuba nilai. Kalau baik, bolehlah berkongsi. Jangan terus berkongsi hanya kerana orang lain berkongsi. Kita harus peduli, tapi jangan sampai menjadi mangsa hipokrasi duniawi.

Dan, perlu sahkan dulu sesuatu itu sebelum anda mula untuk peduli.
Menyebarkan yang palsu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Jangan henti berdoa untuk keamanan Malaysia, dan ummah.
Wassalam.


Monday, February 18, 2013

Kekasih

Assalamualaikum semua.

Pertamanya syukur ke hadrat Allah kerana aku diberikan kudrat dan minda yang cerdas untuk mengharungi satu lagi hari barakah ini.

InsyaAllah, dengan perkongsian ini, aku harap sedikit sebanyak dapat membuka mata kita, terutama para muda remaja belia.

Aku lihat kini banyak yang sudah tertarik dengan dakwah Islam melalui media dan mula terikut-ikut dengan amalan dan dakwah. Itu bagus. Tapi yang tidak bagusnya adalah apabila Melafaz Tetapi Tidak Melaksana. Berat tu !

Till Jannah.

Banyak yang menyebut ungkapan ini terutama adik remaja dan mengharapkan hubungan cinta mereka yang belum halal itu akan menjadi halal dan mekar ke syurga. Namun pesan aku, warnailah cinta dalam Islam, dan amar maaruf nahi mungkar. Di sini aku selit tiga jenis "kekasih" yang mampu terlintas di fikiran aku.

1) Sudah ada Kekasih
Usah kita melengahkan hubungan itu dengan menambah kemaksiatan. Segeralah bertemu wali si wanita dan memperisterikannya. Bimbang, walaupun tidak berjumpa, namun acapkali ber;sms, whatsapp, video call dan sebagainya, ia akan mendorong kepada maksiat hati. Nauzubillah.

“Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram.”
(Riwayat Ibnu Majah) 

“Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.” 
(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

2) Ditinggalkan kekasih
Usah bersedih dan jangan kau seksa diri. Aku tahu remaja kini, terikut-ikut benar dengan drama Melayu, dan sinetron dari tanah seberang. Perbuatan menyeksa diri kerana ditinggalkan kekasih adalah perbuatan bangang dan kau perlu sedar, secara tidak langsung, kau sudah menjadi hamba syaitan laknatullah. Kelar nadi, patahkan simkad, telan pil tidur satu balang, dan lain-lain benda membawa maut itu tidak perlu, sebaliknya kau mengambil wudhuk dan solat sunat dengan seikhlasnya. Berdoa kepada Allah, satu hari nanti, akan ada jodoh kau dan insyaAllah, jodoh Allah itu adalah sebaiknya.


Bersyukur, sebab Allah masih sayangkan kau. Mungkin bila kau couple, kau mula lupa diri, lupa agama, dan keluarga. Solat entah ke mana, pulang lewat malam, selalu ponteng kerja, dan mula mencuri wang kerana desakan pasangan untuk keluar berfoya-foya. Dan cara ini juga dapat elakkan kau dari mendekati zina. Itu kan bagus? Berusaha lagi, kawan :)


3) Masih belum ada Kekasih.
Bersabarlah. Kau bukan tuhan untuk menentukan jodoh orang lain, dan takdir ini milik Allah. kita sebagai manusia, harus mencorakkan seindahnya takdir Allah itu. Cinta selepas nikah itu sangatlah bagus. Dan kau juga ada banyak masa untuk mengumpul wang untuk bekalan selepas nikah nanti. Oh yea! dan kau juga bolehlah pertajamkan kemahiran, ilmu, dan amalan sebagai seorang Muslim sejati.

Jangan mengeluh kerapan diperlambatkan rezeki dan jodoh, sebaliknya berusahalah, berdoa, dan usah berputus harap. Kau tahu kenapa orang sedih semasa musim tengkujuh? Tanaman hancur rosak. Rumah habis roboh dibadai dan dipukul angin ribut, dan para nelayan tidak mampu ke laut untuk mencari rezeki. Natijahnya, selepas banjir, pelangi indah akan datang menyerikan hari, dan debu-debu kotor sudah habis dibawa air hujan, dan bumi pula kembali subur untuk bercucuk tanam. Yakini Allah :)


Semoga ianya bermanfaat untuk semua.
Oh yea! Saya ada buat pakej fotografi. marilah jenguk-jenguk. Kalau sudi, boleh follow. :)


Wassalam

Thursday, January 31, 2013

Tegur



Assalamualaikum dan Salam Maulidur Rasul, salam kelahiran buat junjungan besar kita Nabi Muhamad (s.a.w), pemimpin agung umat manusia. Seharusnya, kita beristiqamah dan muhasabah diri, serta berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan mencontohi teladan Rasulullah (s.a.w). Usahlah kita hanya beriman, dan berhijrah hanya bila ditimpa kesusahan semata, namun wajarnya, hijrah kea rah lebih baik itu perlulah terus dan berterusan.

Teguran. Mengikut kefahaman dan budaya orang Melayu itu sendiri (dari aspek pemahaman aku), bolehlah diklasifikasikan kepada dua bentuk;

1)      Teguran pertama itu dipanggil teguran (menyapa), seperti bertanya khabar, mengucapkan salam, dan dijadikan pemula untuk perbualan, agar tidak kekok. Biasanya teguran (menyapa) ini terjadi samada mereka mengenali sesame sendiri, ataupun tidak (menyapa untuk menambah kenalan dan merapatkan ukhwah sesama Islam, dan sesama komuniti).

2)      Teguran kedua pula adalah teguran (nasihat), lebih berunsurkan dakwah dan membetulkan kesialapan. Teguran ini, jika mengikut Islam ada tiga peringkat. Jika mampu, tegurlah dengan perbuatan, namun jika tidak, cukup sekadar menegur dengan lisan (kata-kata), dan selemah-lemah iman adalah teguran dari hati, dengan niat mengeji perbuatan itu, bukan mencela sang pelaku. Wallahualam.


SUSAH MENEGUR
Situasi ini terjadi mungkin kerana pelaku silap itu adalah orang yang kita kenal, ahli keluarga kita, dan mungkin orang yang kita hormat. Pasti akan timbul rasa kekok dan segan untuk menegur, bimbang akan mengguris hati dan diselar sebagai “macam bagus-bagus”. Dan paling dirisaukan, wjud bisik hati yang mengatakan “layakkah aku untuk menegur?”. MasyaAllah. Minta dijauhkan.


TIDAK BOLEH DITEGUR
Di Malaysia ini, ada satu sifat yang sangat bagus tapi disalahgunakan, iaitu menjaga kepentingan dan semangat dalam komuniti. Ini bermaksud, jika kau menegur si pemimpin, kau akan dihentam oleh pengikut dan sahabat handainya. Bagi aku, tidak kiralah siapapun dia, walaupun dia ayah kita sekalipun, pemimpin kita, meskipun dia Raja Berpelembagaan sekalipun, perlu bersifat terbuka dan sedia untuk ditegur. Kena sedar, teguran itu dibuat kerana risau akan dosa “shubhah” yang akan ditanggung dan dipersoalkan di akhirat kelak. Sama juga seperti kes Raja dan Pemimpin Negara. Jangan tersinggung dan cepat murka dengan teguran rakyat, kerana kami menegur dan cuba perbetulkan apa yang pincang, agar Negara ini sentiasa dirahmati Allah.

Aku bercakap bukanlah kerana aku ingin membuka aib orang Melayu atau apa, usahlah pula selar aku sebagai pengkhianat, kuat merapu, tidak layak digelar Melayu, dan sebagainya. Aku nak kita sama-sama masuk syurga. Kau mungkin pentingkan muhibbah, dan semangat berkebajikan, tapi kau perlu letak Islam sebagai kubahnya, barulah cantik pentadbiran itu.


JANGAN TEGUR
Ini lagi palyah.

Isu ini ada dua, yang pertamanya, jangan tegur jika kau tidak mahu dihukum. Dengan kata yang lebih mudah, Negara ini demokrasi, namun tidaklah terlalu terbuka sangat untuk meluahkan segalanya. Wujudnya ISA (hasutan) mungkin juga untuk mengelakkan teguran-teguran keras yang mungkin akan mengaibkan orang terbesar pangkatnya di Malaysia. Mungkin. Kalau sudah terang lagi bersuluh meminum arak, membuat maksiat dan melakukan perkara lagha, mengapa enggan ditegur? Aku risau akan pepatah lama orang tua, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Aku takut dunia luar melabel kita yang bukan-bukan hanya kerana di atas terlalu hanyut dalam catur dunia. Mohon faham. Dan aku masih cuba pertingkatkan amalan dan cinta Allah, serta bermuhasabah diri, sentiasa cuba berhijrah ke arah lebih baik. Harap kau juga begitu.
Keduanya pula, jangan tegur kerana pantang larang orang kita. Bukan sahaja Melayu, tapi semua bangsa. Ada adat dan kepercayaan nenek moyang yang melarang kita terlalu terbuka dan berkata-kata sesuka hati di sesuatu kawasan mahupun acara. Mungkin juga ada peristiwa kebetulan, jika kau menegur, kau mati yang terlalu dijadikan rujukan, dan mungkin juga kerana jangan tegur kerana atas dasar hormat kepada penghuni alam lain di dunia ini. Wallahualam. Allah Maha Mengetahui, di langit, mahupun di bumi.


TEGURLAH
Bagi aku, buat apa kita takut untuk menegur benda yang sudah terang dosanya dan akan mengaibkan sang pelaku di kemudian hari? Percayalah, dosa-dosa kecil yang kita lakukan inilah yang dikhuatiri bakal melahirkan dosa yang besar kelak. Nauzubillah. Kepada semua khalifah Allah di bumi ini, sama-samalah muhasabah, dan berbuat baiklah dan perbaiki hubungan kita semua dengan Allah, nescaya hati akan tenang, dan rezeki akan datang mencurah, dengan izinNya. InsyaAllah.


Maafkan aku, aku masih mentah berbicara;
Tapi aku takut Malaysia ditimpa petaka, atas dosa yang kita reka.
 
Jangan takut akan teguran manusia,
Takutlah kau dengan azab Allah yang nyata amat pedih.

Wassalam.