Thursday, January 31, 2013

Tegur



Assalamualaikum dan Salam Maulidur Rasul, salam kelahiran buat junjungan besar kita Nabi Muhamad (s.a.w), pemimpin agung umat manusia. Seharusnya, kita beristiqamah dan muhasabah diri, serta berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan mencontohi teladan Rasulullah (s.a.w). Usahlah kita hanya beriman, dan berhijrah hanya bila ditimpa kesusahan semata, namun wajarnya, hijrah kea rah lebih baik itu perlulah terus dan berterusan.

Teguran. Mengikut kefahaman dan budaya orang Melayu itu sendiri (dari aspek pemahaman aku), bolehlah diklasifikasikan kepada dua bentuk;

1)      Teguran pertama itu dipanggil teguran (menyapa), seperti bertanya khabar, mengucapkan salam, dan dijadikan pemula untuk perbualan, agar tidak kekok. Biasanya teguran (menyapa) ini terjadi samada mereka mengenali sesame sendiri, ataupun tidak (menyapa untuk menambah kenalan dan merapatkan ukhwah sesama Islam, dan sesama komuniti).

2)      Teguran kedua pula adalah teguran (nasihat), lebih berunsurkan dakwah dan membetulkan kesialapan. Teguran ini, jika mengikut Islam ada tiga peringkat. Jika mampu, tegurlah dengan perbuatan, namun jika tidak, cukup sekadar menegur dengan lisan (kata-kata), dan selemah-lemah iman adalah teguran dari hati, dengan niat mengeji perbuatan itu, bukan mencela sang pelaku. Wallahualam.


SUSAH MENEGUR
Situasi ini terjadi mungkin kerana pelaku silap itu adalah orang yang kita kenal, ahli keluarga kita, dan mungkin orang yang kita hormat. Pasti akan timbul rasa kekok dan segan untuk menegur, bimbang akan mengguris hati dan diselar sebagai “macam bagus-bagus”. Dan paling dirisaukan, wjud bisik hati yang mengatakan “layakkah aku untuk menegur?”. MasyaAllah. Minta dijauhkan.


TIDAK BOLEH DITEGUR
Di Malaysia ini, ada satu sifat yang sangat bagus tapi disalahgunakan, iaitu menjaga kepentingan dan semangat dalam komuniti. Ini bermaksud, jika kau menegur si pemimpin, kau akan dihentam oleh pengikut dan sahabat handainya. Bagi aku, tidak kiralah siapapun dia, walaupun dia ayah kita sekalipun, pemimpin kita, meskipun dia Raja Berpelembagaan sekalipun, perlu bersifat terbuka dan sedia untuk ditegur. Kena sedar, teguran itu dibuat kerana risau akan dosa “shubhah” yang akan ditanggung dan dipersoalkan di akhirat kelak. Sama juga seperti kes Raja dan Pemimpin Negara. Jangan tersinggung dan cepat murka dengan teguran rakyat, kerana kami menegur dan cuba perbetulkan apa yang pincang, agar Negara ini sentiasa dirahmati Allah.

Aku bercakap bukanlah kerana aku ingin membuka aib orang Melayu atau apa, usahlah pula selar aku sebagai pengkhianat, kuat merapu, tidak layak digelar Melayu, dan sebagainya. Aku nak kita sama-sama masuk syurga. Kau mungkin pentingkan muhibbah, dan semangat berkebajikan, tapi kau perlu letak Islam sebagai kubahnya, barulah cantik pentadbiran itu.


JANGAN TEGUR
Ini lagi palyah.

Isu ini ada dua, yang pertamanya, jangan tegur jika kau tidak mahu dihukum. Dengan kata yang lebih mudah, Negara ini demokrasi, namun tidaklah terlalu terbuka sangat untuk meluahkan segalanya. Wujudnya ISA (hasutan) mungkin juga untuk mengelakkan teguran-teguran keras yang mungkin akan mengaibkan orang terbesar pangkatnya di Malaysia. Mungkin. Kalau sudah terang lagi bersuluh meminum arak, membuat maksiat dan melakukan perkara lagha, mengapa enggan ditegur? Aku risau akan pepatah lama orang tua, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Aku takut dunia luar melabel kita yang bukan-bukan hanya kerana di atas terlalu hanyut dalam catur dunia. Mohon faham. Dan aku masih cuba pertingkatkan amalan dan cinta Allah, serta bermuhasabah diri, sentiasa cuba berhijrah ke arah lebih baik. Harap kau juga begitu.
Keduanya pula, jangan tegur kerana pantang larang orang kita. Bukan sahaja Melayu, tapi semua bangsa. Ada adat dan kepercayaan nenek moyang yang melarang kita terlalu terbuka dan berkata-kata sesuka hati di sesuatu kawasan mahupun acara. Mungkin juga ada peristiwa kebetulan, jika kau menegur, kau mati yang terlalu dijadikan rujukan, dan mungkin juga kerana jangan tegur kerana atas dasar hormat kepada penghuni alam lain di dunia ini. Wallahualam. Allah Maha Mengetahui, di langit, mahupun di bumi.


TEGURLAH
Bagi aku, buat apa kita takut untuk menegur benda yang sudah terang dosanya dan akan mengaibkan sang pelaku di kemudian hari? Percayalah, dosa-dosa kecil yang kita lakukan inilah yang dikhuatiri bakal melahirkan dosa yang besar kelak. Nauzubillah. Kepada semua khalifah Allah di bumi ini, sama-samalah muhasabah, dan berbuat baiklah dan perbaiki hubungan kita semua dengan Allah, nescaya hati akan tenang, dan rezeki akan datang mencurah, dengan izinNya. InsyaAllah.


Maafkan aku, aku masih mentah berbicara;
Tapi aku takut Malaysia ditimpa petaka, atas dosa yang kita reka.
 
Jangan takut akan teguran manusia,
Takutlah kau dengan azab Allah yang nyata amat pedih.

Wassalam.

Thursday, January 3, 2013

Surat Terbuka untuk Bakal Zaujah

Assalamualaikum.

Ke hadapan bakal pemilik separuh lagi hatiku;

Diharapkan anda sihat-sihat selalu hendaknya. Diharapkan juga anda tidak skip solat macam yang selalu anda buat masa kecik-kecik dulu. Biarlah, sejarah silam tidak perlu untuk saya ungkitkan. Saya juga tidak sempurna. Solat lima waktu saya pun saya masih gagal untuk jaga.

Awak;
Diharapkan awak sudah bersedia untuk menjadi suri dalam hati saya. Kalau boleh, awak janganlah pakai shawl lilit-lilit kepala itu lagi. Malu saya tengok. Terkadang, awak menunjukkan leher awak, dengan tidak sengaja. Takperlulah pakai cardigan itu lagi. Awak manis berjubah, lagi-lagi kalau jubah hitam. MasyaAllah.Jangan risau awak, saya tidak pernah berfantasikan awak. Saya hormat awak. Sebagaimana awak hormat maruah awak, menunduk memandang lelaki. Cuma, janganlah terlalu berfesyen. Walau awak berbedak sejuk sekalipun selepas kahwin nanti, sumpah saya akan sayang awak.

Awak;
Jangan buat muka masam lagi tau! Awak perlu senyum, sebab senyum awak mampu buat orang sekeliling awak gembira. Saya rasa awak tahu. Saya bangga awak dah mula berdakwah di facebook. Tak kisahlah kalau ianya sekadar copypaste hadis di Google. Allah melihat usaha kita, walaupun sedikit. Itu tetap dikira ibadah.

Awak;
Terima kasih kalau sekarang ini awak sudah mula belajar memasak. Kalau boleh, awak selalulah mengaji jugak! Nanti, saya keluar bekerja, awak duduk rumah ajar anak kita ilmu agama. Sebab saya yakin, awak ustazah untuk rumah tangga kita nanti. InsyaAllah. Saya pun tidak sempurna agamanya, tapi at least kita akan cuba melengkapi dan bermuzakrrah dan diskusi soal agama setiap malam, selesai solat Maghrib dan Isya' berjemaah.

Awak;
Saya berjanji dan sekarang pun, saya masih berusaha untuk mencari kerja. Saya tidak memilih kerja, tetapi untuk mengahwini awak, saya perlu bersedia. Benar orang kita, jangan cemarkan sucinya cinta dengan duit, tapi segalanya perlu duit. Itu awak pun tahu kan. Awak kan orang bijak terpelajar juga.

Maaf kalau surat ini buat awak rasa mengantuk dan mungkin buat awak menangis. Saya bukan menegur, tapi saya ingin pastikan, kalaupun awak tidak menjadi milik saya, sekurang-kurangnya hati awak sudah pasti menjadi milik Allah.

Tidak perlu balas surat ini, takut ianya bakal mengundang maksiat hati.
Cukuplah kalau awak berdoa kita dipertemukan, dan Allah permudahkan urusan jodoh kita.

Wassalam.

Wednesday, January 2, 2013

Matikanlah Aku

Assalamualaikum. 

Hadis # 1:  Tsauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
 
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ. فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
 
“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya:  
Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab: Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” 
Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn? Baginda menjawab: Cinta kepada dunia dan takut mati.

Sebak bilamana membaca petikan potongan hadis ini.
Adakah kita bersedia untuk mati? Dan adakah kita ikhlas untuk meninggalkan dunia dan Bersediakah untuk menjengah Akhirat?
 

"Seandainya kita sedang solat, dan rumah kita dimasuki pencuri, adakah kita;
Batalkan solat dan cuba berlawan dengan pencuri, atau
Habiskan solat dan redha jika ajal kita mati di tikar sejadah."


Bersediakah kita wahai sahabat?
Perbanyakkanlah mengingati Allah, insyaAllah hati kan tenang.
Subhanallah (33x), Alhamdulillah (33x) Allahu Akbar (33x)
'La illaha illallah, wah-dahu la sharika lah, Lahul-mulku wa lahul hamd, wa huwa 'ala Kul-li shayin Qadeer.' (1x) 
*Dahului dengan surah Al-fatihah dan ayat Kursi (lakukan selepas solat)*

Ya Allah;

Aku berdoa padaMu, matikanlah aku dalam Khusnul Khotimah. 

Perbanykkan membaca Yassin. Download sini.
Semoga Bermanfaat. Wassalam.

Tuesday, January 1, 2013

Adik

Assalamualaikum.

Pertamanya, ingin jugak aku ucapkan kepada sang penjengah blog picisan ini, Selamat Tahun Baru Baharu 2013! Semoga korang menjadi lebih istiqamah dan berubah ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.

Malam itu, aku masih ingat lagi, pulang sahaja abang dari kerja, jam 8 malam, dia terus keluar. Katanya, emak teringin benar nak makan sate. Benar, petang itupun (14 Disember, Jumaat) emak cuma menjamah sedikit nasi dan kuah sup sayur yang aku cuba jadikan ia seperti bubur tetapi gagal.

"Emak jamah sikit sate ini", sambil tanganku menggigil menyuapkan sate ke mulut emak. Emak mengumpul kudratnya untuk membuka mulutnya untuk mengunyah sate ayam tersebut.  Aku dengan tangan yang satu lagi, memegang belakang emak, kerana emak tidak mampu duduk, katanya pinggangnya sakit sangat. Tidak mengapa. Aku suapkan juga sate itu ke mulutnya. Namun, baru habis suapan ketiga, emak sudah mula rasa kenyang. Emak ada juga berkata, dia teringin benar makan ayam KFC, pedas. Aku sudah berjanji, Sabtu pagi aku akan membelikannya ayam KFC dengan harapan emak makan, dan kembali sihat dari demam yang dialaminya hampir seminggu sudah.

Selesai menjamah tiga suap sate, aku rebahkan emak kembali ke katil. Entah kenapa, malam itu aku rasa sayang benar kat emak. aku kucup dahi emak, tangannya aku rapatkan ke perut seperti orang sedang bersolat, dahi emak aku kucup basah. Sebelum keluar menonton Maharaja Lawak Mega, aku sempat memberi salam dan ucapan Selamat Malam kepada emak.

Sumpah! Sungguh aku tidak tahu...

Esok paginya, oleh kerana aku yang tidak pandai memandu kereta, aku meminta bantuan Azfar untuk membelikan ayam goreng KFC.

"Berapa harganya bro?"
"Tak payah bayarlah. Emak kau, emak aku juga".

Sumpah! Aku betul-betul tak sangka...

Petang itu, badan emak kembali panas. Abah call saudara yang juga seorang doktor. Dengan tindakan pantas, beliau menghubungi ambulans untuk mengambil emak dan menghantar ke hospital.

Malam itu, emak tidur di hospital Banting, akak temankan.

Aku tak sangka malam aku kucup dahi emak adalah malam terakhir emak tidur di rumah.

Esoknya, keadaan emak semakin kritikal.
Aku yang sudah lama tidak mencapai surah Yassin, aku bisikkan perlahan-lahan di telinganya. Mungkin boleh aku katakan itulah surah Yassin paling lambat pernah aku baca. Berlumba-lumba air mata melimpah membasahi selimut emak.

Jam 4.45petang, keadaan semakin kritikal. emak mula tersentak-sentak. Sepanjang hari Ahad tersebut, abah tidak berpisah dengan emak. Kami adik-beradik silih berganti cuba membisikkan kalimah Allah dan Muhammad ke telinga emak.
Alhamdulillah, emak ikut walaupun payah kerana gigi palsu emak sudah ditanggalkan.

Jam 6.18petang, ketika hujan renyai mulai turun menceriakan umat di bumi, Hujan airmata dalam lopak dadaku turut merembes bersama. Emak pergi meninggalkan kami buat selama-lamaya.

Alfatihah. Semoga Emak aman dan sejahtera di sana.
Hajjah Rahimah binti Haji Abas
13 Ogos 1949 - 16 Disember 2012

"Kenapa emak menangis?
"Emak sedih, kau sayang sayang kat emak dik"

Petang Jumaat itu adalah saat terakhir aku memeluk arwah.
Entah kenapa, puas aku cium dan peluk erat emak yang sedang berbaring. 
Rasa rindu benar.

"Emak sakit adik, kau jangan marah-marah emak"
Wassalam.