Thursday, June 13, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (1.0)



Hari ini, seperti juga hari semalam. Kosong, sempit, dan merimaskan. Aku masih lagi duduk menanti sebarang tanda yang mungkin boleh kurangkan sesak dada ini. Satu rasa yang mampu buat aku terpanggil untuk percaya, tuhan itu masih wujud dan akan membantu manusia. Tapi aku silap, aku menanti satu jawapan bodoh, yang tidak pasti. Aku sudah berada di sini hampir lima bulan. Apa yang aku dapat, hanyalah cebis wang nota hijau tiap hari, upah aku membasuh kereta sang keparat mewah hidung belang. Aku tidak puas. Malu aku. Dengan rupa dan personaliti yang aku ada, aku mampu capai lebih. 

Aku lepasan universiti. Namun, aku cuba menebalkan pipi hitam ini untuk terus memerah peluh busuk di bawah terik mentari. Apakah sudah tidak ada peluang kerja untuk kami? Paling tidak, setimpal dengna apa yang aku timba tiga tahun lalu. Setimpal. Aku mahu gaji setimpal. Paing tidak, lepas aku untuk melunas hutang doktrinisasi kerajaan.

Memang aku berjiwa berontak. Aku benci hidup begini. Namun aku perlu sedar, hidup ini seperti kertas kanvas. Sekali kau diconteng, sudah tidak mampu terpadam. Kau perlu mengulangi semula, dengan lembar yang baharu.

Nadia, ya! Namanya Nadia. Aku kenal dia secara tidak langsung. Dia aku cuit bahunya semasa aku membasuh kereta seorang anak menteri, di bawah premis guaman ini. Nadia tidak malu menjual bunga. Walaupun dengan imejnya yang muslimah, dia berani memalukan dirinya merintih dan merengek agar orang membeli jualannya. Berlainan dengan aku. Aku sudah lama tidak percaya tuhan. Aku akan kembali menyembahNya jika aku peroleh kerja bergaji besar.

“Assalamualaikum, abang Lan”, sapa Nadia penuh sopan. Dihulurnya nasi lemak berbungkus cebis helai pisang untuk aku jamah bersama. Sudah seminggu dia membawa sarapan untuk aku. Segan. Patutnya, aku lelaki tegap yang menjaganya. Cuma, dua hari pertama, aku langsung tidak menjamah pelawaannya. Takut disantaunya aku. Beginilah perspektif orang tidak bertuhan. Jahil.

Dia mula membuka cerita. Dia anak tiada beribu. Bapa lari entah ke mana. Di pergelangan tangannya, ada lelasan kesan genggam tangan yang kasar. Mungkin kerana dia rasa aku ini seperti abangnya, dia mula bercerita.

“Abang rasa, pelacur yang dipaksa melacur oleh ayah kandungnya sendiri, ada harapan atau tidak untuk mencium syurga?”, soal Nadia.

Aku tidak punya jawapan untuk itu. Yang aku tahu, ustazah pernah cakap pada aku, niat itu tidak menghalalkan cara. Entah. Aku pun tidak faham. Aku rasa hidup tidak bertuhan ada bagusnya. Tidak rasa dikongkong.

“Abang, sampai bila abang nak jadi seperti ini? Bila kali terakhir abang solat?”. Kali ini, soalan Nadia semakin pedas. Benar. 

Bila terakhir aku solat? Lima bulan lalu, masa hari pertama aku tiba di Kuala Lumpur. Usai solat, aku mencapai beg galas, dan ada si bangsat keparat meragut beg dan semua barangan aku. Aku tidak punya apa-apa waktu itu. Aku diragut di hadapan masjid. Jika benar Allah menjaga HambaNya, kenapa Dia terus membiarkan aku derita?. Aku tidak punya jawapan untuk itu.


[bersambung]

No comments:

Post a Comment