Friday, June 14, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (3.0)



Aku? Masih seperti ini. Lusuh dan tidak terurus. Mujur ada Nadia. Mungkin Allah cuba menunjukkan kasih sayangnya dengna menghantar Nadia untuk aku. Pengantara cinta Tuhan dan HambaNya. Kata Nadia, hari ini sudah masuk 1 Syaaban, kurang sebulan untuk menjengah Ramadhan.

Biasanya, manusia risau, apa yang bakal dipakai untuk Hari Raya, dan apa juadah yang enak untuk diratah semasa berbuka puasa. Tapi bagi aku, bagi Nadia. Adakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan tahun hadapan? Aku serahkan kepada Allah. Ustaz Zamberi pernah berpesan, Allah itu adalah Sebaik-baik Perancang.

Mengenali Nadia, gadis penjual bunga ini, buat aku sedar, dan aku rasa sudah masa aku berhenti untuk menyalahkan hokum tuhan. Aku perlu kembali ke jalan redha Ilahi. Aku tak mahu mati dalam keadaan hina. Aku takut mati dalam keadaan sesat dan busuk. Nauzubillah. Tiba masa, aku pulang. Pulang mencium cinta Allah. Menjadi hamba yang tidur, lena dan, hela nafasnya, membisik nama suci Allah.

Terima kasih Allah kerana menghantar Nadia untuk aku. Dengan bimbingan Ustaz Rosli, aku perlahan-lahan mencari redha Allah. Beliau bagi aku kerja yang mulia, walaupun bagi pandangan orang muda kini, itu hanyalah kerja orang yang hampir mati, kerja menjaga masjid. Aku diupah RM500 sebulan untuk membersihkan dan memelihara masjid ini. 

Seronok. Kita jaga rumah Allah, Allah jaga rezeki dan jodoh kita. 

Jangan terlalu kejarkan dunia, sebab cinta dunia akan mati. Jangan dikejar cinta manusia, kerana cinta itu akan pergi. Kejarlah cinta ukhrawi, kerana ianya akan kekal hakiki.

Hari ini sudah 15 Syaaban, Nisfu Syaaban. Nadia masih dengan pekerjaan asalnya. Dan beliau masih lagi tinggal di rumah Madam Lee. Nadia bebas untuk solat, malah, Madam Lee membelikan Nadia sebuah kuali dan alatan memasak untuknya. Benar, itu bagus untuk menjaga halal makanan. Dan, Nadia begitu teruja, kerana keluarga Cina itu sudah tidak memakan babi dan meminum arak lagi. Mereka hormat agama Nadia, Islam.

Nadia, terima kasih sebab jadi yang halal buat aku. Tahun ini, sudah masuk tahun ketiga kau menjadi zaujahku. Terima kasih. Benar, manusia akan berubah kerana sesuatu. Dan Nadia, tasbih putih yang pernah kau letakkan dalam uncang wang aku, aku tidak pernah henti menggunakannya. Dialah menjadi saksi cinta aku kepada Allah. Dan, terima kasih Allah. Kau berikan aku Nadia. Penyejuk mata, penawar di hati.

Terima Kasih Allah.

[tamat]

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (2.0)



 Puas aku belek-belek uncang kain pemberian Nadia. Dengan uncang ini, dapatlah aku menyimpan kad pengenalan yang baru saja aku dapat minggu lepas, dan sedikit wang hasil perahan keringatku membasuh kereta orang kaya di premis Jalan Bunga Raya ini. Mana mungkin aku mampu mencari kerja yang lebih bagus? Sijil dan semua pembuktian akademik aku habis diratah peragut keparat itu. 

Entah di mana dicampaknya beg aku, aku pun tidak pasti. Puas aku korek setiap inci tong sampah. Sampai satu saat, aku dihambat oleh seorang tauke cina, menjual itik panggang. Aku bukan penagih. Aku bukan mentalist yang mengamalkan muzik dan retorik songsang. Aku mencari bagasi aku yang telah diragut, bukan mencari sampah untuk dikunyah.

Aku mula sayangkan Nadia. Benar apa yang orang cakap, kerana budi, kita mampu untuk jatuh hati. Begitu juga apa yang aku rasa. Bodoh! Terlalu banyak derita si gadis manis itu untuk tanggung, takkan aku nak datang, dan menambahnya lagi. Pelik benar rasanya. Dulu, memang aku anggap dia seperti adik aku sendiri. Tapi kini, rasanya lain benar. Aku percaya, jurang usia itu hanyalah permainan sial orang yang kolot. Dia buat aku mulai percaya akan wujudnya kuasa dan kasih sayang tuhan, Allah Maha Esa.

Kasihan Nadia, dia perlu habiskan sisa jualan bunga setiap hari. Kerana bunga itu akan layu jika dibiarkan lama. Begitu juga iman manusia. Ini apa yang aku ingat, akan apa yang Nadia pernah beritahu aku. Katanya, iman manusia ini seperti pohon bunga. Ianya perlu dibaja setiap hari. Jika tidak, pohon akan layu, dan akhirnya akan mati.

Nadia, dulu dia juga seorang gadis liar. Bapanya seorang pemabuk. Dia adalah mangsa serakah bapa kandungnya sendiri. Dan, dia juga hampir dirogol oleh kawan-kawan bapanya, juga pemabuk dan taik judi. Mujur Nadia gegas berlari. Dia kini tinggal dengan Madam Lee, pengusaha nurseri bunga.

Siapa kata Cina itu jahat, dan Melayu itu baik? Isu bangsa, soal hati, dan permainan rasa, semuanya bersifat subjektif. Madam Lee hantar Nadia untuk membasuh lukanya di Masjid Taqwa. Di situ, jiwa liarnya dibasuh dengan alunan bibit ayat-ayat syurga. Dia juga diajar untuk solat dan menutup aurat.

Manusia tidak boleh mudah salahkan tuhan akan nasib yang mereka rasai. Semua itu masalah dalam jiwa. Isu sosialis amat menakutkan. Nadia hidup dalam komunitii yang amat jauh dengan titik Islam. Jangan dihukum terus pelacur itu, kita harus menilai latarnya dahulu.


[bersambung]

Thursday, June 13, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (1.0)



Hari ini, seperti juga hari semalam. Kosong, sempit, dan merimaskan. Aku masih lagi duduk menanti sebarang tanda yang mungkin boleh kurangkan sesak dada ini. Satu rasa yang mampu buat aku terpanggil untuk percaya, tuhan itu masih wujud dan akan membantu manusia. Tapi aku silap, aku menanti satu jawapan bodoh, yang tidak pasti. Aku sudah berada di sini hampir lima bulan. Apa yang aku dapat, hanyalah cebis wang nota hijau tiap hari, upah aku membasuh kereta sang keparat mewah hidung belang. Aku tidak puas. Malu aku. Dengan rupa dan personaliti yang aku ada, aku mampu capai lebih. 

Aku lepasan universiti. Namun, aku cuba menebalkan pipi hitam ini untuk terus memerah peluh busuk di bawah terik mentari. Apakah sudah tidak ada peluang kerja untuk kami? Paling tidak, setimpal dengna apa yang aku timba tiga tahun lalu. Setimpal. Aku mahu gaji setimpal. Paing tidak, lepas aku untuk melunas hutang doktrinisasi kerajaan.

Memang aku berjiwa berontak. Aku benci hidup begini. Namun aku perlu sedar, hidup ini seperti kertas kanvas. Sekali kau diconteng, sudah tidak mampu terpadam. Kau perlu mengulangi semula, dengan lembar yang baharu.

Nadia, ya! Namanya Nadia. Aku kenal dia secara tidak langsung. Dia aku cuit bahunya semasa aku membasuh kereta seorang anak menteri, di bawah premis guaman ini. Nadia tidak malu menjual bunga. Walaupun dengan imejnya yang muslimah, dia berani memalukan dirinya merintih dan merengek agar orang membeli jualannya. Berlainan dengan aku. Aku sudah lama tidak percaya tuhan. Aku akan kembali menyembahNya jika aku peroleh kerja bergaji besar.

“Assalamualaikum, abang Lan”, sapa Nadia penuh sopan. Dihulurnya nasi lemak berbungkus cebis helai pisang untuk aku jamah bersama. Sudah seminggu dia membawa sarapan untuk aku. Segan. Patutnya, aku lelaki tegap yang menjaganya. Cuma, dua hari pertama, aku langsung tidak menjamah pelawaannya. Takut disantaunya aku. Beginilah perspektif orang tidak bertuhan. Jahil.

Dia mula membuka cerita. Dia anak tiada beribu. Bapa lari entah ke mana. Di pergelangan tangannya, ada lelasan kesan genggam tangan yang kasar. Mungkin kerana dia rasa aku ini seperti abangnya, dia mula bercerita.

“Abang rasa, pelacur yang dipaksa melacur oleh ayah kandungnya sendiri, ada harapan atau tidak untuk mencium syurga?”, soal Nadia.

Aku tidak punya jawapan untuk itu. Yang aku tahu, ustazah pernah cakap pada aku, niat itu tidak menghalalkan cara. Entah. Aku pun tidak faham. Aku rasa hidup tidak bertuhan ada bagusnya. Tidak rasa dikongkong.

“Abang, sampai bila abang nak jadi seperti ini? Bila kali terakhir abang solat?”. Kali ini, soalan Nadia semakin pedas. Benar. 

Bila terakhir aku solat? Lima bulan lalu, masa hari pertama aku tiba di Kuala Lumpur. Usai solat, aku mencapai beg galas, dan ada si bangsat keparat meragut beg dan semua barangan aku. Aku tidak punya apa-apa waktu itu. Aku diragut di hadapan masjid. Jika benar Allah menjaga HambaNya, kenapa Dia terus membiarkan aku derita?. Aku tidak punya jawapan untuk itu.


[bersambung]