Friday, June 14, 2013

Aku, Dia, dan Tasbih Putih (2.0)



 Puas aku belek-belek uncang kain pemberian Nadia. Dengan uncang ini, dapatlah aku menyimpan kad pengenalan yang baru saja aku dapat minggu lepas, dan sedikit wang hasil perahan keringatku membasuh kereta orang kaya di premis Jalan Bunga Raya ini. Mana mungkin aku mampu mencari kerja yang lebih bagus? Sijil dan semua pembuktian akademik aku habis diratah peragut keparat itu. 

Entah di mana dicampaknya beg aku, aku pun tidak pasti. Puas aku korek setiap inci tong sampah. Sampai satu saat, aku dihambat oleh seorang tauke cina, menjual itik panggang. Aku bukan penagih. Aku bukan mentalist yang mengamalkan muzik dan retorik songsang. Aku mencari bagasi aku yang telah diragut, bukan mencari sampah untuk dikunyah.

Aku mula sayangkan Nadia. Benar apa yang orang cakap, kerana budi, kita mampu untuk jatuh hati. Begitu juga apa yang aku rasa. Bodoh! Terlalu banyak derita si gadis manis itu untuk tanggung, takkan aku nak datang, dan menambahnya lagi. Pelik benar rasanya. Dulu, memang aku anggap dia seperti adik aku sendiri. Tapi kini, rasanya lain benar. Aku percaya, jurang usia itu hanyalah permainan sial orang yang kolot. Dia buat aku mulai percaya akan wujudnya kuasa dan kasih sayang tuhan, Allah Maha Esa.

Kasihan Nadia, dia perlu habiskan sisa jualan bunga setiap hari. Kerana bunga itu akan layu jika dibiarkan lama. Begitu juga iman manusia. Ini apa yang aku ingat, akan apa yang Nadia pernah beritahu aku. Katanya, iman manusia ini seperti pohon bunga. Ianya perlu dibaja setiap hari. Jika tidak, pohon akan layu, dan akhirnya akan mati.

Nadia, dulu dia juga seorang gadis liar. Bapanya seorang pemabuk. Dia adalah mangsa serakah bapa kandungnya sendiri. Dan, dia juga hampir dirogol oleh kawan-kawan bapanya, juga pemabuk dan taik judi. Mujur Nadia gegas berlari. Dia kini tinggal dengan Madam Lee, pengusaha nurseri bunga.

Siapa kata Cina itu jahat, dan Melayu itu baik? Isu bangsa, soal hati, dan permainan rasa, semuanya bersifat subjektif. Madam Lee hantar Nadia untuk membasuh lukanya di Masjid Taqwa. Di situ, jiwa liarnya dibasuh dengan alunan bibit ayat-ayat syurga. Dia juga diajar untuk solat dan menutup aurat.

Manusia tidak boleh mudah salahkan tuhan akan nasib yang mereka rasai. Semua itu masalah dalam jiwa. Isu sosialis amat menakutkan. Nadia hidup dalam komunitii yang amat jauh dengan titik Islam. Jangan dihukum terus pelacur itu, kita harus menilai latarnya dahulu.


[bersambung]

No comments:

Post a Comment