Thursday, January 31, 2013

Tegur



Assalamualaikum dan Salam Maulidur Rasul, salam kelahiran buat junjungan besar kita Nabi Muhamad (s.a.w), pemimpin agung umat manusia. Seharusnya, kita beristiqamah dan muhasabah diri, serta berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan mencontohi teladan Rasulullah (s.a.w). Usahlah kita hanya beriman, dan berhijrah hanya bila ditimpa kesusahan semata, namun wajarnya, hijrah kea rah lebih baik itu perlulah terus dan berterusan.

Teguran. Mengikut kefahaman dan budaya orang Melayu itu sendiri (dari aspek pemahaman aku), bolehlah diklasifikasikan kepada dua bentuk;

1)      Teguran pertama itu dipanggil teguran (menyapa), seperti bertanya khabar, mengucapkan salam, dan dijadikan pemula untuk perbualan, agar tidak kekok. Biasanya teguran (menyapa) ini terjadi samada mereka mengenali sesame sendiri, ataupun tidak (menyapa untuk menambah kenalan dan merapatkan ukhwah sesama Islam, dan sesama komuniti).

2)      Teguran kedua pula adalah teguran (nasihat), lebih berunsurkan dakwah dan membetulkan kesialapan. Teguran ini, jika mengikut Islam ada tiga peringkat. Jika mampu, tegurlah dengan perbuatan, namun jika tidak, cukup sekadar menegur dengan lisan (kata-kata), dan selemah-lemah iman adalah teguran dari hati, dengan niat mengeji perbuatan itu, bukan mencela sang pelaku. Wallahualam.


SUSAH MENEGUR
Situasi ini terjadi mungkin kerana pelaku silap itu adalah orang yang kita kenal, ahli keluarga kita, dan mungkin orang yang kita hormat. Pasti akan timbul rasa kekok dan segan untuk menegur, bimbang akan mengguris hati dan diselar sebagai “macam bagus-bagus”. Dan paling dirisaukan, wjud bisik hati yang mengatakan “layakkah aku untuk menegur?”. MasyaAllah. Minta dijauhkan.


TIDAK BOLEH DITEGUR
Di Malaysia ini, ada satu sifat yang sangat bagus tapi disalahgunakan, iaitu menjaga kepentingan dan semangat dalam komuniti. Ini bermaksud, jika kau menegur si pemimpin, kau akan dihentam oleh pengikut dan sahabat handainya. Bagi aku, tidak kiralah siapapun dia, walaupun dia ayah kita sekalipun, pemimpin kita, meskipun dia Raja Berpelembagaan sekalipun, perlu bersifat terbuka dan sedia untuk ditegur. Kena sedar, teguran itu dibuat kerana risau akan dosa “shubhah” yang akan ditanggung dan dipersoalkan di akhirat kelak. Sama juga seperti kes Raja dan Pemimpin Negara. Jangan tersinggung dan cepat murka dengan teguran rakyat, kerana kami menegur dan cuba perbetulkan apa yang pincang, agar Negara ini sentiasa dirahmati Allah.

Aku bercakap bukanlah kerana aku ingin membuka aib orang Melayu atau apa, usahlah pula selar aku sebagai pengkhianat, kuat merapu, tidak layak digelar Melayu, dan sebagainya. Aku nak kita sama-sama masuk syurga. Kau mungkin pentingkan muhibbah, dan semangat berkebajikan, tapi kau perlu letak Islam sebagai kubahnya, barulah cantik pentadbiran itu.


JANGAN TEGUR
Ini lagi palyah.

Isu ini ada dua, yang pertamanya, jangan tegur jika kau tidak mahu dihukum. Dengan kata yang lebih mudah, Negara ini demokrasi, namun tidaklah terlalu terbuka sangat untuk meluahkan segalanya. Wujudnya ISA (hasutan) mungkin juga untuk mengelakkan teguran-teguran keras yang mungkin akan mengaibkan orang terbesar pangkatnya di Malaysia. Mungkin. Kalau sudah terang lagi bersuluh meminum arak, membuat maksiat dan melakukan perkara lagha, mengapa enggan ditegur? Aku risau akan pepatah lama orang tua, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Aku takut dunia luar melabel kita yang bukan-bukan hanya kerana di atas terlalu hanyut dalam catur dunia. Mohon faham. Dan aku masih cuba pertingkatkan amalan dan cinta Allah, serta bermuhasabah diri, sentiasa cuba berhijrah ke arah lebih baik. Harap kau juga begitu.
Keduanya pula, jangan tegur kerana pantang larang orang kita. Bukan sahaja Melayu, tapi semua bangsa. Ada adat dan kepercayaan nenek moyang yang melarang kita terlalu terbuka dan berkata-kata sesuka hati di sesuatu kawasan mahupun acara. Mungkin juga ada peristiwa kebetulan, jika kau menegur, kau mati yang terlalu dijadikan rujukan, dan mungkin juga kerana jangan tegur kerana atas dasar hormat kepada penghuni alam lain di dunia ini. Wallahualam. Allah Maha Mengetahui, di langit, mahupun di bumi.


TEGURLAH
Bagi aku, buat apa kita takut untuk menegur benda yang sudah terang dosanya dan akan mengaibkan sang pelaku di kemudian hari? Percayalah, dosa-dosa kecil yang kita lakukan inilah yang dikhuatiri bakal melahirkan dosa yang besar kelak. Nauzubillah. Kepada semua khalifah Allah di bumi ini, sama-samalah muhasabah, dan berbuat baiklah dan perbaiki hubungan kita semua dengan Allah, nescaya hati akan tenang, dan rezeki akan datang mencurah, dengan izinNya. InsyaAllah.


Maafkan aku, aku masih mentah berbicara;
Tapi aku takut Malaysia ditimpa petaka, atas dosa yang kita reka.
 
Jangan takut akan teguran manusia,
Takutlah kau dengan azab Allah yang nyata amat pedih.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment