Thursday, February 2, 2012

Dengan Lagu Kami Rapat



Tangisan,
Mengiringi perpisahan ini,
Berderai menitis,
Ke tanah yang tandus,
Kejora suram diselubungi,
Awan mendung,
Pemisah insani dan jiwa kudus…

Hilanglah harta,
Selautan dunia fana,
Anak kecil menagih susu si ibu,
Kala si tua merintih hiba,
Nasib duka,
Menanti sinar kunjung tiba…

Peluru buta, terjah merata,
Insan tak berdosa menjadi mangsa,
Kuasa dunia sekadar membuta,
Alasan alpa,
Mengapung sengsara…


Tangisan bumi tandus,
Rintihan menyeru semangat dunia,
Hulur tangan menggapai,
Impian dan duka,
Menguntai ikatan cinta semalam,
Yang sirna ditelan noda…  


Assalamualaikum...

Secara tiba-tiba aku rindu zaman sekolah, semasa Pertandingan Puisi dan Lagu. Dimana puisi atau sajak dideklamasikan dahulu dan kemudian dilagukan pula. Terima kasih kepada cikgu Ghazali Lateh yang membimbing, dan berani menghantar kami mewakili SMK Telok Datok dan julung kalinya dalam penyertaan sulung, kami JUARA Daerah Kuala Langat, namun terkandas di peringkat negeri.

Silapnya? Hanya satu. kami sangat amatur dan tiada alatan muzik yang gah seperti sekolah lain. Kami ada dua gitar kapok dengung dan siulan dari mulut. Hahaha!

Aku bercadang nak makbulkan impian penyanyi ini, dan cuba rakamkan kembali lagu ini. Mungkin sebuah video klip amatur sudah cukup. Siapa Tahu kami mampu mengukir bintang seperti Najwa Latif dan Yunalis Zarai bukan?

Doakanlah kami.





No comments:

Post a Comment