Thursday, September 6, 2012

Mari Belajar Bahasa Melayu 2.0: Batuk dan Pagar


Assalamualaikum.

“Bagai melepaskan batuk di tangga”

Mari kita bincangkan tentang bidalan yang pertama. Perkataan batuk dalam perumpamaan ini bukanlah merujuk batuk yang terjadi apabila kita demam, alergik habuk, ataupun batuk berdehem-dehem ketika hendak mengurat awek (bahasa pasar) gadis di perhentian bas.

Batuk ini adalah seperti gayung, diperbuat dari tempurung kelapa dan diletakkan di depan tangga utama rumah. Fungsinya adalah untuk mencedok air dari dalam tempayan untuk membasuh kaki sebelum masuk ke rumah.

Perumpamaan ini membawa maksud PERBUATAN YANG SIA-SIA kerana jika anda membasuh kaki di atas tangga, sudah pasti kotorannya akan terkena di atas tangga pula bukan? Dan sebaliknya, jika membasuh di halaman, takut pula akan kotor kembali sebelum sempat memijak tangga. Namun, sudah pasti perbuatan ini merupakan adat orang Melayu yang bukan saja mementingkan kebersihan namun juga sensitif dengan dunia mistik (basuh kaki boleh lena tidur, basuh kaki boleh buang sial yang kita bawa dari luar rumah)

“Harapkan pagar, pagar makan padi”

Menurut logik akal, adakah wajar jika jelapang padi yang luas hijau menguning untuk dipagari? Dan jika jawapan anda ya, mampukah orang zaman dahulu, Melayu klasik untuk memagari seluruh petak sawah dan bendang mereka?

Pada mulanya, saya beranggapan ianya seperti semak samun di tepi-tepi rumah anda yang anda malas untuk tebas, dan mula memanjat naik dan masuk ke halaman rumah anda. Bukan!

Pagar yang dimaksudkan di sini adalah burung pegar (burung pemakan padi). Hal ini berlaku akibat salah faham antara dua bentuk tulisan utama masyarakat Melayu iaitu ketika menterjemahkan tulisan Jawi ke tulisan Rumi. Ejaan Jawi bagi burung pegar ini ialah [pa + ga + ro] dan jika ianya diletakkan huruf [ya] selepas [pa] ejaannya akan bertukar menjadi PIGAR pula.

Perumpamaan ini membawa maksud KITA DIKHIANATI OLEH ORANG YANG PALING KITA PERCAYAI. Hal ini kerana, burung pegar kerap kali berterbangan di sekitar kawasan padi dan membuatkan haiwan perosak (tikus dan belalang) takut untuk mendekati pohon padi. Namun, pada masa yang sama, burung ini memakan butir-butir padi tersebut.

Sebab itulah ramai lelaki yang tiada BFF, dan Perempuan banyak BFF yang curang.

BFF = best friend forever (kawan baik selamanya)

BM itu lebih mudah jika kita bersabar untuk belajar. :)
:: Mohon pembetulan jika ada yang silap ::

No comments:

Post a Comment