Tuesday, November 6, 2012

Sudikah Awak Menjadi yang Halal Buat Saya?

Assalamualaikum..

Menjelang cuti sekolah kali ini, sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang merancang untuk berkahwin. Atau paling tidak pun, mula menyusun perancangan bersama si dia untuk berkahwin, meniti hari-hari bahagia bersama. Bagi lepasan universiti pula, mencari kerja sekarang ini bukanlah tujuan untuk membantu ibubapa / membayar hutang PTPTN, tapi lebih tertumpu untuk mengumpul wang untuk berkahwin (walhal ada yang masih tiada calon pun). Percaturan itu indah, namun tidak semua pengakhirannya bahagia.




Kali ini, usah kita mempertikaikan kenapa aku tidak boleh bahagia, atau kenapa dia bukan milikku? Entri kali ini cuma nak sembang sikit apakah yang perlu sebelum menjawab YA bagi soalan ini,

"Sudikah Awak Menjadi yang Halal Buatku?"


Kenali Si Dia

Kaji benar-benar latar belakangnya. Lihat dengan siapa dia berkawan, dan rakan serta tempat kerjanya. Ini paling penting untuk masa depan anda berdua nanti. Rakan yang baik melentur peribadi ke arah yang baik, dan sebaliknya. Kaji juga adakah benar dia bekerja seperti apa yang dia katakan, jangan pula lepas kahwin nanti, hutang bertimbun, kerja pula tiada. Takkan nak makan cinta dan kasih sayang sahaja setiap hari? Tidak mengenyangkan.

Kaji juga latar belakang keluarganya. Bukan untuk mencampuri peribadi, tapi kelak, mereka juga akan menjadi keluarga anda. Sebelum menerima cinta dia, lebih baik menerima keluarganya dahulu. Kepada sang lelaki, lebih baik berjumpa wali dia, berbanding berjumpa teman baik si gadis untuk restu.
Oh!


Kenali Diri Anda

Sebelum anda mula melamar dan membeli cincin menggunakan gaji pertama anda yang tidak seberapa itu, mari kita kenali diri kita terlebih dahulu. Adakah jika kewangan aku cukup, maka dalaman dan ilmu aku juga cukup? Adakah keluarga yang akan aku bina ini hanya untuk dunia? Akhirat nanti, bagaimana?
Penuhi ilmu di dada, paling tidak, bersedia untuk menjadi imam, dan belajarlah hukum berumah tangga. Apa itu talak dan nusyuz, serta yang lain juga.

Buat si gadis, persiapkan akhlakmu untuk si dia. Bersedia untuk berubah ke arah lebih baik. Anda bakal menjadi isteri, dan bidadari buat si dia. Malah, ustazah untuk anak hasil benih cinta itu nanti. Sejarah lama usah diulang. Jika dahulu, suka bersolek dan berwangi-wangian, kini hadkan sahaja untuk bakal suami anda SELEPAS KAHWIN nanti. Belajarlah memasak, kerana cara mengambil hati suami yang paling mudah adalah melalui "perutnya"


Pengalaman Peribadi

Jika anda pernah kecewa sebelum ni, ambillah iktibar dan belajar dari kesilapan. Jangan terlalu mudah berkata Ya kepada orang yang belum kita kenal peribadinya, yang sebenar. Dan pula, jangan menghukum dia dek kerana lelaki itu dikatakan semuanya sama. Tidak! Lelaki itu berbeza-beza, dari segi  iman dan ketinggian akhlaknya. Dan pula, jangan kerana takut dengan pengalaman lepas, anda menghukum diri dan si dia, melengahkan persetujuan untuk menerimanya. 

Jangan terlalu mengharapkan Kesempurnaan.


Tak perlu mencari teman secantik BALQIS, Jika diri tak seindah SULAIMAN, Mengapa mengharap teman setampan YUSUF, Jika kasih tak setulus ZULAIKHA, Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM, Jika tak sekuat SARAH, Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH, Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W, Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT, Tak guna Ada HATI kalau tak tahu MENILAI


Kewangan

Selepas ilmu pengisian rohani dan perbaiki soal dalaman, soal ini pula yang akan menyusul. 

Duit!

Sebelum berfikir untuk pergi melamar, dan mendirikan rumah tangga bersama si cinta hati, kenali dulu isi poket anda. Bear! Tak elok untuk melengahkan walimatul urus, tapi jika terpaksa berhutang sehinnga anak menginjak remaja, pun tidak elok juga sebenarnya. 

Wanita pula, janganlah fikir tugas mencari wang untuk berkahwin adalah tugas lelaki sahaja, dengan beralasan bagi pihaknya, semua sudah selesai dengan bantuan kewangan dari bapa. Sepatutnya, wanita juga perlu membantu meringankan bebanan bakal suami, sebab ini juga majlis anda, dan bahagianya pun nanti, anda juga yang rasa.

Jangan kedekut untuk benda yang baik.


Masa

Jika anda belum bersedia untuk menggalas tugas sebagai isteri / suami, berlaku jujurlah. Jangan memaksa untuk berkahwin. Wujud banyak penceraian di Malaysia adalah kerana ketidakmatangan pasangan, dan kerana sikap tidak bersedia. Jangan perjudikan perkahwinan anda. Tidak salah untuk menangguh sedikit masa untuk bersedia dan perbaiki diri. Kahwin di usia tua tidaklah sesuatu yang memalukan, tapi itu tindakan matang (pemikiran matang, poket juga sudah stabil)


Perkahwinan itu proses yang sangat indah. Sebelum menjawab "Ya, aku terima kau menjadi yang halal buatku", berfikirlah dalam-dalam. Dan, jangan nantikan yang terlalu sempurna, andai diri itu insan biasa.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment