Puas aku
belek-belek uncang kain pemberian Nadia. Dengan uncang ini, dapatlah aku
menyimpan kad pengenalan yang baru saja aku dapat minggu lepas, dan sedikit
wang hasil perahan keringatku membasuh kereta orang kaya di premis Jalan Bunga
Raya ini. Mana mungkin aku mampu mencari kerja yang lebih bagus? Sijil dan
semua pembuktian akademik aku habis diratah peragut keparat itu.
Entah di mana
dicampaknya beg aku, aku pun tidak pasti. Puas aku korek setiap inci tong
sampah. Sampai satu saat, aku dihambat oleh seorang tauke cina, menjual itik
panggang. Aku bukan penagih. Aku bukan mentalist yang mengamalkan muzik dan
retorik songsang. Aku mencari bagasi aku yang telah diragut, bukan mencari
sampah untuk dikunyah.
Aku mula
sayangkan Nadia. Benar apa yang orang cakap, kerana budi, kita mampu untuk
jatuh hati. Begitu juga apa yang aku rasa. Bodoh! Terlalu banyak derita si
gadis manis itu untuk tanggung, takkan aku nak datang, dan menambahnya lagi. Pelik
benar rasanya. Dulu, memang aku anggap dia seperti adik aku sendiri. Tapi kini,
rasanya lain benar. Aku percaya, jurang usia itu hanyalah permainan sial orang
yang kolot. Dia buat aku mulai percaya akan wujudnya kuasa dan kasih sayang tuhan,
Allah Maha Esa.
Kasihan
Nadia, dia perlu habiskan sisa jualan bunga setiap hari. Kerana bunga itu akan
layu jika dibiarkan lama. Begitu juga iman manusia. Ini apa yang aku ingat,
akan apa yang Nadia pernah beritahu aku. Katanya, iman manusia ini seperti
pohon bunga. Ianya perlu dibaja setiap hari. Jika tidak, pohon akan layu, dan
akhirnya akan mati.
Nadia,
dulu dia juga seorang gadis liar. Bapanya seorang pemabuk. Dia adalah mangsa
serakah bapa kandungnya sendiri. Dan, dia juga hampir dirogol oleh kawan-kawan
bapanya, juga pemabuk dan taik judi. Mujur Nadia gegas berlari. Dia kini
tinggal dengan Madam Lee, pengusaha nurseri bunga.
Siapa
kata Cina itu jahat, dan Melayu itu baik? Isu bangsa, soal hati, dan permainan
rasa, semuanya bersifat subjektif. Madam Lee hantar Nadia untuk membasuh
lukanya di Masjid Taqwa. Di situ, jiwa liarnya dibasuh dengan alunan bibit
ayat-ayat syurga. Dia juga diajar untuk solat dan menutup aurat.
Manusia
tidak boleh mudah salahkan tuhan akan nasib yang mereka rasai. Semua itu masalah
dalam jiwa. Isu sosialis amat menakutkan. Nadia hidup dalam komunitii yang amat
jauh dengan titik Islam. Jangan dihukum terus pelacur itu, kita harus menilai
latarnya dahulu.
[bersambung]
No comments:
Post a Comment