Hari
ini, seperti juga hari semalam. Kosong, sempit, dan merimaskan. Aku masih lagi
duduk menanti sebarang tanda yang mungkin boleh kurangkan sesak dada ini. Satu
rasa yang mampu buat aku terpanggil untuk percaya, tuhan itu masih wujud dan
akan membantu manusia. Tapi aku silap, aku menanti satu jawapan bodoh, yang
tidak pasti. Aku sudah berada di sini hampir lima bulan. Apa yang aku dapat,
hanyalah cebis wang nota hijau tiap hari, upah aku membasuh kereta sang keparat
mewah hidung belang. Aku tidak puas. Malu aku. Dengan rupa dan personaliti yang
aku ada, aku mampu capai lebih.
Aku lepasan
universiti. Namun, aku cuba menebalkan pipi hitam ini untuk terus memerah peluh
busuk di bawah terik mentari. Apakah sudah tidak ada peluang kerja untuk kami? Paling
tidak, setimpal dengna apa yang aku timba tiga tahun lalu. Setimpal. Aku mahu
gaji setimpal. Paing tidak, lepas aku untuk melunas hutang doktrinisasi
kerajaan.
Memang
aku berjiwa berontak. Aku benci hidup begini. Namun aku perlu sedar, hidup ini
seperti kertas kanvas. Sekali kau diconteng, sudah tidak mampu terpadam. Kau perlu
mengulangi semula, dengan lembar yang baharu.
Nadia,
ya! Namanya Nadia. Aku kenal dia secara tidak langsung. Dia aku cuit bahunya
semasa aku membasuh kereta seorang anak menteri, di bawah premis guaman ini. Nadia
tidak malu menjual bunga. Walaupun dengan imejnya yang muslimah, dia berani
memalukan dirinya merintih dan merengek agar orang membeli jualannya. Berlainan
dengan aku. Aku sudah lama tidak percaya tuhan. Aku akan kembali menyembahNya
jika aku peroleh kerja bergaji besar.
“Assalamualaikum,
abang Lan”, sapa Nadia penuh sopan. Dihulurnya nasi lemak berbungkus cebis helai
pisang untuk aku jamah bersama. Sudah seminggu dia membawa sarapan untuk aku. Segan.
Patutnya, aku lelaki tegap yang menjaganya. Cuma, dua hari pertama, aku
langsung tidak menjamah pelawaannya. Takut disantaunya aku. Beginilah perspektif
orang tidak bertuhan. Jahil.
Dia
mula membuka cerita. Dia anak tiada beribu. Bapa lari entah ke mana. Di pergelangan
tangannya, ada lelasan kesan genggam tangan yang kasar. Mungkin kerana dia rasa
aku ini seperti abangnya, dia mula bercerita.
“Abang rasa, pelacur yang dipaksa melacur
oleh ayah kandungnya sendiri, ada harapan atau tidak untuk mencium syurga?”, soal Nadia.
Aku
tidak punya jawapan untuk itu. Yang aku tahu, ustazah pernah cakap pada aku,
niat itu tidak menghalalkan cara. Entah. Aku pun tidak faham. Aku rasa hidup
tidak bertuhan ada bagusnya. Tidak rasa dikongkong.
“Abang, sampai bila abang nak jadi seperti
ini? Bila kali terakhir abang solat?”.
Kali ini, soalan Nadia semakin pedas. Benar.
Bila terakhir aku solat? Lima
bulan lalu, masa hari pertama aku tiba di Kuala Lumpur. Usai solat, aku
mencapai beg galas, dan ada si bangsat keparat meragut beg dan semua barangan
aku. Aku tidak punya apa-apa waktu itu. Aku diragut di hadapan masjid. Jika
benar Allah menjaga HambaNya, kenapa Dia terus membiarkan aku derita?. Aku
tidak punya jawapan untuk itu.
[bersambung]
No comments:
Post a Comment